أحمد محمد لبن Ahmad.M.Lbn مؤسس ومدير المنتدى
عدد المساهمات : 52644 العمر : 72
| موضوع: At-Takwiir السبت 18 فبراير 2017, 6:42 pm | |
| At-Takwiir Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. [1] Apabila matahari dilingkari cahayanya (dan hilang lenyap); [2] Dan apabila bintang-bintang gugur berselerak; [3] Dan apabila gunung-ganang di terbangkan ke angkasa (setelah dihancurkan menjadi debu); [4] Dan apabila unta-unta yang bunting terbiar; [5] Dan apabila binatang-binatang liar dihimpunkan; [6] Dan apabila lautan meluap-luap bercampur-baur; [7] Dan apabila tiap-tiap diri disatukan dengan pasangannya; [8] Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup: ditanya, - [9] Dengan dosa apakah ia dibunuh? [10] Dan apabila surat-surat amal dibentangkan; [11] Dan apabila langit ditanggalkan dari tempatnya; [12] Dan apabila neraka dinyalakan menjulang; [13] Dan apabila Syurga didekatkan; [14] (Setelah semuanya itu berlaku), tiap-tiap orang akan mengetahui tentang amal yang telah dibawanya. [15] Oleh itu, Aku bersumpah dengan bintang-bintang yang tenggelam timbul; [16] Yang beredar, juga yang tetap pada tempatnya; [17] Dan malam, apabila ia hampir habis, [18] Dan siang, apabila ia mulai terang; [19] Sebenarnya Al-Quran itu, sungguh-sungguh Kalamullah (yang disampaikan oleh Jibril) Utusan yang mulia, [20] Yang kuat gagah, lagi berkedudukan tinggi di sisi Allah yang mempunyai Arasy, [21] Yang ditaati di sana (dalam kalangan malaikat), lagi dipercayai. [22] Dan sebenarnya sahabat kamu (Nabi Muhammad) itu (wahai golongan yang menentang Islam), bukanlah ia seorang gila (seperti yang kamu tuduh); [23] Dan (Nabi Muhammad yakin bahawa yang disampaikan kepadanya ialah wahyu dari Tuhan, kerana) demi sesungguhnya! Nabi Muhammad telah mengenal dan melihat Jibril di kaki langit yang nyata. [24] Dan bukanlah Nabi Muhammad seorang yang boleh dituduh dan disangka buruk, terhadap penyampaiannya mengenai perkara-perkara yang ghaib. [25] Dan sebenarnya Al-Quran itu bukanlah perkataan Syaitan yang kena rejam. [26] (Dengan yang demikian) maka ke manakah kamu hendak pergi (kiranya kamu masih menyeleweng dari jalan Al-Quran)? [27] Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi seluruh penduduk alam: [28] Iaitu bagi sesiapa dari kamu yang mahu tetap teguh di atas jalan (Islam) yang betul. [29] Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatupun), kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam. |
|